Wednesday, 17 September 2014

Series: Inilah Umie

Salam anak-anak

Dalam series Inilah Umie, saya mahu anak-anak mengenali diri umie dengan lebih dekat. Bukan setakat gelaran umie tetapi anak, adik, kakak, kawan, isteri dan musuh. Saya tidak sempurna, banyak cacat dan cela tetapi sentiasa mencari keseimbangan antara baik dan buruk, hitam dan putih, lemah dan kuat bersesuaian dengan lambang horoskop saya iaitu dacing.

Lahir sebagai anak tengah, saya seorang yang sensitif, degil dan kuat memberontak. Mungkin disebabkan kurang kasih sayang daripada orang tua. Ayah seorang askar, banyak masa dihabiskan di kem dan di luar rumah. Emak pula lebih melayan kerenah abang yang sememangnya banyak kerenah. Selain kerja rumah yang tidak berpenghujung, emak terpaksa melayan seorang lagi anak kecil iaitu adik saya. Jarak umur kami bertiga hanya setahun, abang, saya dan adik, bayangkan penat lelah emak membesarkan kami tanpa bantuan suami ataupun pembantu.

Kata emak saya tidak banyak kerenah semasa kecil dan pandai melayan diri. Emak jarang ada masa untuk saya lantaran tuntutan anak sulung yang luar biasa. Abang seorang anak kecil yang sangat aktif, kuat menangis dan banyak permintaan. Banyak masa emak dihabiskan untuk melayan kehendak abang yang tidak pernah habis. Selain kerja rumah yang menimbun, emak juga terpaksa melayan adik yang masih kecil. Saya? Kata emak, minum susu sendirian di tempat kesukaan dan menidurkan diri sendiri.

Masuk alam persekolahan, saya sering berfkir saya bukan anak emak dan ayah. Fizikal saya berlainan sedikit daripada abang dan adik. Lebih kecinaannya disebabkan warna kulit yang agak putih. Saya sering rasa terpinggir kerana emak selalu melayan abang dan ayah apabila ada kelapangan suka bermain dengan adik. Saya suka bertanya soalan bodoh pada emak dan ayah hanya untuk menarik perhatian mereka. Adakala mereka jawab dan adakala mereka marah.

Berbanding abang dan adik, saya paling suka bercakap. Saya paling ceria, suka menari dan menyanyi. Artis pujaan semasa saya kecil adalah Uji Rashid, penyanyi terkenal era tahun 70an. Ayah selalu mengusik dan meniru gaya nyanyian penyanyi pujaan saya. Pernah satu ketika saya menghasut adik melarikan diri dari rumah kerana percaya emak dan ayah tidak sayangkan kami. Rancangan itu terbatal apabila abang membocorkan rahsia kami berdua. Jawapan yang saya terima daripada mak dan ayah, "Eloklah, pergi lari dari rumah ... biar orang india tangkap dan potong kepala.! Ia bukan main-main, memang waktu itu riuh dengan fenomena anak-anak hilang kepala disebabkan pembinaan Jambatan Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment