Monday, 29 September 2014

Inilah Umie

Salam anak-anak

Cerita ini memalukan. Pertama kali hati perempuan saya terusik oleh sesorang yang bergelar lelaki.

Saya rajin ke sekolah pada waktu ini kerana mahu melihat buah hati yang kebetulan duduk dalam kumpulan yang sama. Enam orang kami kesemuanya, tiga pelajar lelaki dan perempuan. Saya rasa ketiga-tiga kami menaruh harapan pada orang yang sama, tetapi masing-masing menafikan. Saya tidak kisah, saya cuma mahu memandang wajahnya yang kacak dan kulitnya yang putih bersih.

Sebelum ke sekolah, saya menghabiskan banyak masa mengikat rambut di hadapan cermin. Saya cuba pelbagai gaya mengikat rambut untuk kelihatan menarik dan cantik di hadapan pujaan hati. Tanpa sedar, masa inilah saya mula memberi prihatian pada dahi yang jendul, bibir tebal dan muncung, badan kerepeng dan kaki yang pendek. Saya tidak tahu mengapa perasaan ini menyelinap masuk dalam diri. Agaknya inilah yang dikatakan masalah self esteem.

Saya mula berangan menjadi orang lain yang lebih cantik daripada diri sendiri. Saya banyak menghabiskan masa membuat pelbagai jenis gaya senyum supaya bibir kelihatan sedikit nipis dan menarik. Saya mula mengumpul muka-muka artis dari majalah tempatan, mula berangan dan tidak berpijak di bumi nyata.

Adik perempuan tahu akan perasaan saya pada ketika itu kerana dialah pendengar setia pada cerita-cerita saya di sekolah. Walaupun kami rapat dengan emak, tetapi berkongsi kisah peminat di sekolah bukanlah sesuatu yang boleh kami raikan bersama. Emak sangat tegas dalam hal sebegini, tidak seperti ibu-ibu zaman iphone sekarang. Jadi, adiklah yang akan mendengar segala-segalanya dan dia sangat pandai menyimpan cerita. Pernah sekali abang terdengar perbualan kami berdua, dan mula mengejek-ngejek saya. Abang pula seperti budak-budak lelaki lain seusianya, tidak pernah terlintas perkataan 'perempuan' dalam kotak hatinya.

Apa istimewanya budak lelaki yang saya minat itu? Saya tiada jawapan. Saya tahu dia pelajar baharu yang juga anak askar seperti kebanyakan murid-murid lain. Flat tempat keluarganya tinggal sedikit jauh daripada flat saya, dan kami menaiki trak berbeza untuk sampai ke sekolah.

Keseronokkan ini tidak lama, saya berpindah sekolah baharu di Sungai Petani. Saya tidak mempunyai peminat untuk beberapa lama. Masa inilah, saya baru menumpukan perhatian pada pelajaran bagi menduduki peperiksaan Penilaian Darjah Lima.

No comments:

Post a Comment