Wednesday, 17 September 2014

Series: Inilah Umie

Salam anak-anak

Tujuh tahun pertama saya dibesarkan di sebuah kem askar di Kuantan, Pahang. Walaupun begitu, saya dilahirkan di Balik Pulau, Pulau Pinang. Menjadi anak askar, saya suka akan idea berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat baharu. Saya suka bertukar suasana, sekolah baharu, kawan baharu dan serba-serbi baharu.

Saya sempat memasuki darjah satu di Kuantan, tetapi tidak lama kerana berpindah ke Port Dickson. Semasa di sekolah rendah, saya bukan tergolong dalam kumpulan anak cerdik, gemilang dan terbilang. Saya budak sekolah biasa-biasa, tiada cita-cita dan motto saya hanya bermain. Seingat saya, mak mengajar saya tiap-tiap malam membaca buku Ayam Jantan. Saya menangis teresak-esak apabila emak sedar saya hanya menghafal dan masih tidak mengenal suku kata. Setiap malam ternyata menyeksakan jiwa raga kerana mak akan pastikan saya boleh membaca. Berbeza dengan saya, abang suka dan pandai membaca. Tidak perlu dipaksa membaca dan hobi abang memang membaca. Abang menjadi anak kesayangan mak ayah sebab dia pandai di sekolah dan rajin membaca buku.

Orang kata, zaman yang paling indah dalam kehidupan kita adalah zaman kanak-kanak. Saya sukar menerima pandangan ini. Pernah satu ketika, abang dan adik mendapat barang sekolah baharu dari mak ayah tetapi saya harus pakai barang lama. Saya menangis kesedihan tetapi tiada tempat untuk bercerita. Saya tersedu-sedu di atas katil sendirian. Ayah ternampak lalu bertanya, saya menipu dengan mengaku saya sakit perut. Setahu saya, itulah permulaan saya menipu mak ayah tentang perasaan sendiri. Saya malu untuk meminta, idea tentang saya anak angkat sentiasa bermain dalam kepala.

Apabila berpindah ke Port Dickson, kami menetap di rumah flat berdekatan pantai Batu 5 hampir empat tahun lamanya. Rutin sekolah saya hampir serupa dengan anak-anak lain di situ, kami menaiki truk askar beramai-ramai ke sekolah. Truk askar cukup besar untuk memuatkan kesemua kami anak-anak askar di flat-flat berdekatan. Kami diminta menyanyi beramai-ramai di sepanjang jalan sebelum dan selepas balik dari sekolah. Aktiviti ringkas itu mampu mengingatkan saya pada bait-bait lagu patriotik Barisan Kita hingga ke hari ini. Tempat duduk di dalam truk agak terbatas, dan saya jarang sekali mendapat tempat duduk selesa. Saya malas berebut dan tidak mampu berebut dengan budak lain yang lebih besar dan tangkas. Jadi saya dan kawan senasib akan duduk beralaskan beg sekolah yang maha berat atau tiada alas, duduk di atas lantai truk.

Saya tiada angan-angan pada waktu ini. Pergi dan balik sekolah sama sahaja setiap hari. Walaupun begitu, saya tidak suka pada bebarapa orang guru yang ada anak emas di sekolah. Salah seorang daripada guru itu akan saya ingat sampai mati. Bukan berdendam tetapi perbuatannya tidak patut dimaafkan atau perlu dicontohi oleh guru-guru lain.

Guru ini ada anak emas di sekolah, layanan terhadapnya jauh berbeza daripada kami murid-murid lain. Beliau ditugaskan mengajar subjek matematik dan PJ semasa saya di tahun empat. Beliau antara guru yang paling bengis dan garang sepanjang saya berada di sekolah rendah. Kami para pelajar sangat gerun akan beliau. Pada satu petang, beliau masuk ke kelas dengan wajah bengis dan membentak murid-murid yang mahu keluar bersukan dalam subjek akhir iaitu PJ. Beliau menyuruh kami duduk di tempat masing-masing dan mula menulis dengan pantas di atas papan hitam. Selepas memahami apa yang berlaku, rupa-rupanya guru matematik kami marah kerana tugasan yang diberi sebelum ini tidak menepati paiwaian. Beliau mengambil satu buku tulisan, memanggil nama seorang murid dan melemparkan buku itu di hadapan kelas. Saya terkesima apabila nama saya dipanggil dengan panggilan "taik" di hadapan. Tiada seorang pun yang berani ketawa walaupun ia satu panggilan yang tidak patut sama sekali. Dalam kepala saya ligat berfikir, jika latihan matematik itu salah semuanya pasti murid-murid lain membuat salah juga kerana kami bergotong-royong menyelesaikan masalah itu bersama. Bagaimana nama saya sahaja yang tersangkut?

Guru mengarah kesemua buku latihan dikembalikan pada murid-murid dan meminta mereka membuat pembetulan, sedangkan buku saya diconteng semahu-mahunya. Saya masih ingat topik matematik itu berkenaan 'bahagi pendek' yang sudah diajar oleh guru yang sama setahun lalu semasa kami berada di tahun tiga. Masakan kami ingat pelajaran setahun yang sudah dan saya tidak keseorangan, seluruh anak murid dalam kelas empat Merah tidak ingat akan topik itu. Perbuatan guru itu meninggalkan kesan mendalam pada diri. Saya tidak pernah membenci subjek matematik tetapi beliau mula menanam benih itu.

Kenangan paling seronok di tahun empat, saya tersuka pada seorang budak lelaki.

No comments:

Post a Comment