Salam anak-anak
Umie dedikasikan blog ini buat anak-anak umie; abang dan adik yang baik, pemurah, peramah, berakhlak dan sentiasa menjaga solat. Anak-anak umie yang sentiasa membantu orang susah, berdoa untuk umie dan abah, menjaga diri dan agama dan bercita-cita tinggi dan mulia. Aamiin.
Blog ini akan menjadi tempat umie meluahkan rasa, kasih sayang, rindu dendam, dan segala jenis ilmu berguna dan kurang berguna pada anak-anak. Pandailah kutip yang mana sesuai untuk dipadankan dengan diri sendiri.
Pada abang yang sentiasa mencari jalan untuk memenangkan diri; hidup kita bukan hanya untuk diri sendiri sahaja. Kita bahagia, berjaya, kaya atau glamer tidak akan bermakna jika tidak diraikan bersama orang kita sayang. Jangan lupa pada mereka yang sayang abang, jaga dan raikan hati-hati mereka.
Pada adik yang sentiasa menjaga hati orang; hidup ini lebih bermakna jika kita tahu apa yang kita mahukan dan dahulukan diri kita bukan satu kesalahan. Sekali-sekala toleh ke belakang melihat orang yang kita tumpangkan, dan adakalanya kita harus laju dan laju, lurus ke hadapan.
Dua-dua umie sayang, abang anak sulung dan adik anak bongsu. Tiada beza walaupun abang selalu kena lebih sebab, AKUKAN ABANG!
No comments:
Post a Comment